Lakaran Buku INDAHKAN ADABMU : Ringkasan dan Huraian Al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari

Lakaran Buku Indahkan Adabmu: 
Begini Metodologi Penulisan Buku Ini.


| Cetakan Rujukan

Rujukan utama kami adalah berdasarkan kitab al-Adab al-Mufrad, tahqiq: Muhammad Fuad ‘Abdul Baqi, cet: ke-3, Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, 1409H/1989M. Disamping itu, turut merujuk cetakan-cetakan lain.


| Ringkasan Hadis

Ringkasan hadis dalam karya ini melibatkan beberapa aspek sebagaimana berikut:

1. Sanad

Masyarakat kita begitu asing dengan rantaian sanad yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis. Sebahagian daripada mereka terus meninggalkan sanad ini tanpa dibaca dan diperhatikan. Situasi ini merupakan satu kerugian dan pengabaian terhadap ilmu hadis. Menyedari situasi ini, kami mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kepada para pembaca dengan meringkaskan sanad yang terdapat di dalam karya al-Adab al-Mufrad ini.

Kami meringkaskan sanad kepada tiga tabaqat atau tiga peringkat sahaja. Sama ada tabaqat Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in, atau sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in atau seumpama dengannya. Walau bagaimana pun bagi sanad yang dihubungkan dengan nama bapa atau datuk pada rangkaian sanadnya, maka kami tetap mengekalkannya sebagaimana yang ditetapkan oleh Imam al-Bukhari rhm.. Dalam keadaan ini, bilangan tabaqatnya kemungkinan lebih daripada tiga tabaqat. Sebagai contohnya pada hadis no: (16-21).

Oleh yang demikian, sekalipun rantaian sanadnya tidak lengkap dan tidak sempurna, namun kami mengharapkan ia menjadi pintu untuk memupuk masyarakat mengenali sanad hadis dan menjadi benih bagi menumbuhkan keinginan untuk mempelajari sanad hadis dengan lebih terperinci.

2. Matan
Kami mengekalkan matan hadis sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rhm. dalam kitab al-Adab al-Mufrad tanpa meringkaskan dan membuang mana-mana bahagian.

3. Bilangan Bab
Karya asal al-Adab al-Mufrad mengandungi 644 bab. Melalui karya ringkasan ini, kami tetap mengekalkan bilangan bab tersebut dan tiada mana-mana bab yang yang dibuang daripada kitab asal, termasuklah bab yang tidak mempunyai nama. Hal demikian kerana setiap bab tersebut mempunyai tujuan dan matlamat yang tertentu yang ingin disampaikan oleh Imam al-Bukhari rhm. Justeru, kami beranggapan bahawa pengurangan bilangan bab tersebut boleh mendedahkan karya ringkasan kepada kecacatan dan tergelincir daripada matlamat penulisan asal kitab al-Adab al-Mufrad.

4. Bilangan Hadis
Berdasarkan penomboran hadis yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Fuad Abdul Baqi, keseluruhan hadis dalam al-Adab al-Mufrad ini mengandungi 1322 hadis. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 869 hadis yang kami pilih dan kami muatkan di dalam karya ringkasan ini.

Di dalam karya ini, kami menggunakan dua jenis penomboran: penomboran berdasarkan susunan karya ini dan penomboran berdasarkan karya asal. Sebagai contoh:

7-8: عَنْ زِيَادِ بْنِ مِخْرَاقٍ قَالَ:

Nombor 7: nombor hadis di dalam karya ini. 
Nombor 8: nombor hadis dalam karya asal.

| Bagaimanakah pemilihan hadis ini dilakukan?

i. Bilangan maksimum hadis yang kami hadkan bagi setiap bab hanyalah tiga hadis sahaja.

ii. Kriteria pemilihan hadis-hadis daripada al-Adab al-Mufrad adalah berdasarkan hadis yang paling ringkas dan paling menjelaskan maksud bab yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari rhm.. Namun bagi, bab yang tidak dinyatakan tajuknya, maka kami merujuk kepada bab-bab sebelumnya atau kepada hadis yang tidak disebutkan pada bab-bab yang lain.

iii. Pemilihan hadis dalam ringkasan ini juga tidak sekadar memilih hadis Marfu’ sahaja, bahkan ia merangkumi hadis Mauquf dan selainnya. Demikian juga, hadis yang dipilih bukan sekadar yang dinilai Sahih oleh ulama tertentu, bahkan ia merangkumi hadis yang Sahih, Hasan dan Dha’if. Hal ini demikian kerana tidak semua hadis Marfu’ dan hadis Sahih wujud pada setiap bab. Disamping kami sedaya upaya mengekalkan keaslian kitab yang penuh berkat ini. Disamping itu, ruang perbincangan dan analisis status sesuatu hadis sama ada Sahih dan Dha’if masih terbuka luas kepada pakar yang berkelayakan untuk menilainya.


| Huraian Hadis:
Huraian hadis dalam karya ini melibatkan beberapa aspek sebagaimana berikut:

1. Sanad
Nama-nama perawi yang tercatat pada rangkaian sanad yang kami ringkaskan ini telah kami jelaskan nama penuhnya berdasarkan kitab syarah hadis dan kitab Rijal Hadits. Walau bagaimana pun terdapat segelintir nama-nama perawi yang tidak mampu untuk kami jelaskan nama penuhnya disebabkan kami tidak menjumpainya atau nama perawi tersebut tidak dikenali daripada kalangan para ulama hadis.

2. Matan
Kami menggunakan metodologi ‘al-Syarh al-Mamzuji’ dalam menghuraikan sesuatu matan hadis. Iaitu terjemahan hadis yang disertakan bersama dengan huraian hadis. Oleh yang demikian, metodologi huraian sebegini tidak panjang dan tidak berjela-jela, bahkan menghuraikan dan menjelaskan sesuatu yang perlu sahaja agar para pembaca dapat memahami maksud dan kehendak hadis dengan lebih mudah dan senang. Walau bagaimana pun, huraian tersebut kami letakkan dalam kurungan dan diwarnakan dengan warna yang berbeza. Agar para pembaca dapat membezakan antara terjemahan dan huraian.

3. Rujukan
Menghuraikan hadis-hadis yang terdapat dalam ringkasan ini sama sekali tidak mampu untuk kami lakukan. Hal demikian kerana keterbatasan kemampuan dan tahap penguasaan ilmu yang masih rendah dan cetek. Justeru, bagi menghuraikan dan menjelaskan hadis-hadis yang terdapat dalam karya ini, maka kami merujuk dan mengkaji kitab-kitab syarah hadis yang ditulis dan disusun oleh para ulama, sama ada kitab-kitab khusus yang menghuraikan dan mensyarahkan kitab al-Adab al-Mufrad atau kitab-kitab syarah hadis yang lain. Kami senaraikan rujukan utama kami dalam menghuraikan dan mensyarahkan hadis-hadis daripada kitab yang berharga ini:

i. Fadhlullah al-Shamad fi Taudhih al-Adab al-Mufrad, oleh Syeikh al-‘Allamah Fadhlullah al-Shamad, 2 jilid.
ii. Syarah Shahih al-Adab al-Mufrad, oleh Syeikh Husain bin ‘Audah al-‘Awayisyah, 3 jilid.
iii. ‘Aun al-Ahad al-Shamad Syarh al-Adab al-Mufrad, oleh Syeikh Zaid bin Muhammad bin Hadi al-Madkhali, 3 jilid.
iv. Rasyy al-Barad Syarh al-Adab al-Mufrad, oleh Syeikh Dr. Muhammad Luqman Muhammad al-Salafi, 1 jilid.
v. Al-Adab al-Mufrad: al-Jami’ li al-Adab al-Nabawiyyah, oleh Maulana Muhammad Ilyas al-Barabankawi, 1 jilid.

Kitab-kitab syarah hadis yang lain:
vi. Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, oleh Mulla ‘Ali al-Qari.
vii. Al-Taisir bi Syarh al-Jami' al-Shaghir, oleh Imam Abdul Ra’uf al-Munawi.
viii. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.
ix. Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, oleh Imam al-Nawawi.
x. Dalil al-Falihin li Thuruq Riyadh al-Shalihin, oleh Imam Ibn ‘Allan.
Dan banyak lagi sebagaimana yang disenaraikan di bahagian bibliografi.

================
PERTAMA DITERBITKAN DI MALAYSIA!

Buku:
■ INDAHKAN ADABMU: Ringkasan & Huraian AL-ADAB AL-MUFRAD, Imam al-Bukhari.
■ Ringkasan, terjemahan & huraian oleh Ust Solleh Razak
Maklumat buku:
Saiz buku: 6.7 x 9.5 inci (saiz kitab Arab)
Halaman: 664 ms
Kulit: Hardcover
Kandungan: 2 colours
Harga : RM 79.90.
Harga : RM 79.90.
Harga : RM 79.90.
Hubungi segera:

Maklumat lanjut:
FB: Mata Buku
Instagram: Mata_Buku
Blog: https://matabukuresources.blogspot.com

Comments

Carian Popular

AL-ADAB AL-MUFRAD di sisi para ulama

Karya-Karya Ustaz Dr. Solleh Razak

Indahkan Adabmu: Kalam Murabbi Mursyid - Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang