AL-ADAB AL-MUFRAD di sisi para ulama


Pada kesempatan kali ini, suka untuk kami kongsikan dengan para pembaca sekalian kedudukan dan pandangan para ULAMA terhadap kitab AL-ADAB AL-MUFRAD karangan Imam al-Bukhari rhm. 

Sesungguhnya pujian dan sanjungan para ulama terhadap karya ini tidak terhingga banyaknya, namun pada kesempatan ini, kami nukilkan sebahagian kecil daripada pandangan para ulama terhadap karya yang penuh keberkatan dan penuh manfaat ini.

PERTAMA: Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rhm. menyatakan: 
“Kitab al-Adab al-Mufrad mengandungi hadis-hadis tambahan terhadap hadis ‘al-Jami’ al-Sahih’ yang sedia ada. Di dalamnya mengandungi sedikit atsat-atsar Mauquf, namun banyak faedahnya”.[1]

KEDUA: Al-Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi rhm.
“Kitab beliau ini -iaitu al-Adab al-Mufrad- merupakan kitab al-Bukhari yang paling utama selepas kitab ‘al-Jami’ al-Shahih’ disebabkan penekanan beliau untuk sesiapa yang mahu mengikuti al-Sunnah. Ia merupakan kitab yang lengkap dan merangkumi semua aspek. Ditambah lagi dengan penyelidikan, ketelitian, pemeliharaan dan perhatian yang sangat terperinci yang beliau curahkan. Namun -betapa malangnya- umat Islam telah mensia-siakan hak kitab ini”.[2]

KETIGA: Syeikh Fadhlullah al-Shamad rhm. menyebut: 
“Sesungguhnya kitab al-Adab al-Mufrad bagi Amirul Mukminin fi al-Hadits, pakar ilmu ‘ilal bagi generasi Mutaqaddimin dan sekarang, penjaga Islam dan umat Islam, guru kepada sekalian fuqaha’ dan Muhadditsin, seorang imam yang besar kekuatannya; Abu Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari, semoga Allah SWT mengurniakan keistimewaan kepadanya yang berterusan daripada usaha yang besar menfaatnya. Sekalipun kecil saiznya, namun dilimpahi dengan ilmu yang ditemui seumpamanya.

Karya ini mengandungi adab-adab yang terpuji dan akhlak-akhlak yang sempurna, yang diambil daripada penghulu sekalian nabi, generasi terbaik para sahabat yang agung dan generasi yang mengikuti mereka daripada kalangan ulama yang bertaqwa. Ia merupakan karya paling baik yang pernah ditulis, karya paling teliti yang pernah disusun, karya paling kukuh yang pernah dibina, karya paling wajar diminati dan diberikan tumpuan. Namun penuntut ilmu tidak mengenali kedudukannya dengan hanya sekilas pandangan, sekalipun ia merupakan seorang yang pintar dan cerdik.

Alangkah sedikitnya golongan yang memetik hikmah yang tinggi dan permata yang mahal yang terdapat di dalamnya melainkan sesiapa yang mencurahkan segala usaha bersungguh-sungguh dan menempuh kajian terhadap rijal-rijal yang terdapat dalam sanadnya, memahami matan-matan hadisnya, membacanya berulang kali dan membuat kajian yang sangat mendalam. Sesiapa yang tidak dapat memerhatikan secara mendalam, maka janganlah berhenti pada kedudukannya, sekalipun dia perlu memerhatikan di sana dan di sini”.[3]

KEEMPAT: Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rhm. berkata: 
“Sesungguhnya kitab pertama dan kitab paling agung yang menghimpunkan sejumlah besar dan pilihan yang terbaik hadis-hadis dan atsar-atsar yang berkaitan adab-adab dan akhlak-akhlak Nabawiyyah -yang menjadi uswah dan contoh teladan yang terbaik bagi umat Muslimin- ialah kitab al-Adab al-Mufrad bagi Imam kepada sekalian Imam dan ilmu sekalian ummah, Amirul Mukminin fi al-Hadits; Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari”.[4]

KELIMA: Syeikh Abdullah bin Abdil Rahman al-Sa’d hfz. turut mengemukakan pandangan dalam kuliah beliau. Menurut beliau: 
Kitab al-Adab al-Mufrad merupakan antara kitab Imam al-Bukhari yang paling penting. Bahkan ia merupakan kitab yang kedua selepas kitabnya ‘al-Jami’ al-Sahih’. Benar, Imam al-Bukhari turut memiliki kitab-kitab tarikh seperti Tarikh al-Kabir, Tarikh al-Ausath dan Tarikh al-Saghir yang merupakan kitab-kitab yang sangat penting, namun ia merupakan kitab yang khusus bagi gologan yang mendalami ilmu hadis dan kajian hadis seperti al-Jarh wa al-Ta’dil dan ilmu ‘Ilal. 

Adapun al-Adab al-Mufrad, ia merupakan kitab untuk seluruh lapisan masyarakat. Ia kitab bagi para ulama dan selainnya. Ia merupakan kitab bagi golongan yang mendalami ilmu hadis dan orang awam. Justeru, ia dianggap kitab yang kedua dari sudut kepentingannya daripada pelbagai kitab-kitab Imam al-Bukhari yang lain.[5]

KEENAM: Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi bin Awang hfz. berkata:
“Imam Al-Bukhari, pengarang kitab ‘al-Adab al-Mufrad’ cukup diberi kepercayaan kerana ketokohannya dalam ilmu Hadis Nabawi yang menjadi salah satu sumber ilmu Islam yang terpenting selepas al-Quran yang diwahyukan. Peranannya menjadi pentafsir amali daripada ilmu wahyu yang diterima daripada Allah SWT, di mana cara amalannya ialah peribadi Rasulullah SAW. Insan pilihan Allah yang menjadi Rasul akhir zaman bagi seluruh manusia di seluruh pelusuk dunia dan sepanjang masa.

Perkara akhlak secara menyeluruh merupakan intipati kitab yang diterjemahkan ini. Termasuk salah satu daripada perkara al-Din yang dihuraikan melalui pertanyaan Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW yang dibahagikan kepada tiga perkara asas; Islam, Iman dan Ihsan.”[6]
__________________________
[1] Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil: 10, hal: 400. (Riyadh: Dar al-Thayyibah, cet: 1, 1426) 
[2] Al-Mu’allimi, Kalimah Ta’rif wa Taqdir ‘ala Kitab Fadhl al-Shamad fi Taudhih al-Adab al-Mufrad, jil: 1, hal: 17-18. 
[3] Fadhlullah al-Jilani, Muqaddimah Fadhl al-Shamad fi Taudhih al-Adab al-Mufrad, jil: 1, hal: 21-22. 
[4] Abdul Fattah Abu Ghuddah, ‘Mukaddimah li Thab’ah al-Khamisah; Fadhl al-Shamad fi Taudhih al-Adab al-Mufrad, jil: 1, hal: ج. 
[5] Fatawa al-Sa’d, المجلس الأول من جرد الأدب المفرد للإمام البخاري || المحدث عبدالله السعد, 
https://www.youtube.com/watch?v=bOO70vi_ddw&list=PLbedzxr8fe94Z-U8U7BMaRDW0WU1knnij 
[6] Kalam Murabbi Mursyid, Indahkan Adabmu: Ringkasan dan Huraian Al-Adab al-Mufrad, hal: 1.

Comments

Carian Popular

Karya-Karya Ustaz Dr. Solleh Razak

Indahkan Adabmu: Kalam Murabbi Mursyid - Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang