Indahkan Adabmu: Kalam Murabbi Mursyid - Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang


Alhamdulillah. Penerbitan buku INDAHKAN ADABMU: Ringkasan dan Huraian AL-ADAB AL-MUFRAD sangat memberi makna  yang sangat besar kerana kesudian Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menitipkan kata-kata nasihat dan bimbingan.

Di sini, Mata Buku Resources berkongsi dengan para pembaca sekalian, kata-kata nasihat dan bimbingan daripada Tuan Guru sebagaimana berikut:


====================================
Kalam Murabbi Mursyid
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

====================================

Imam Al-Bukhari, pengarang kitab ‘al-Adab al-Mufrad’ cukup diberi kepercayaan kerana ketokohannya dalam ilmu Hadis Nabawi yang menjadi salah satu sumber ilmu Islam yang terpenting selepas al-Quran yang diwahyukan. Peranannya menjadi pentafsir amali daripada ilmu wahyu yang diterima daripada Allah SWT, di mana cara amalannya ialah peribadi Rasulullah SAW. Insan pilihan Allah yang menjadi Rasul akhir zaman bagi seluruh manusia di seluruh pelusuk dunia dan sepanjang masa.

Hanya Islam sahaja agama yang paling sempurna kerana ajarannya yang menyeluruh. Ia merupakan acuan Allah SWT; Tuhan Pencipta Alam ini bagi membina peribadi manusia. Di mana manusia adalah sebahagian alam ciptaan Allah, sama ada pada dirinya yang punya fitrahnya sendiri, atau peranannya dalam hubungan dengan Allah pencipta alam yang wajib beribadahkan kepadanya, atau berkenaan diri manusia sendiri yang berfitrahkan jasad, roh, akal, individu dan bermasyarakat, serta peranan menjadi khalifah mentadbir makhluk yang lain di muka bumi berpandukan undang-undang Allah pencipta alam.

“Perkara akhlak secara menyeluruh merupakan intipati kitab yang diterjemahkan. Termasuk salah satu daripada perkara al-Din yang dihuraikan melalui pertanyaan Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW yang dibahagikan kepada tiga perkara asas; Islam, Iman dan Ihsan.” 

Huraian tajuk akhlak termasuk dalam perkara Ihsan yang wajib dinyatakan dasar dan konsepnya dalam agenda membina syakhsiah manusia. Sama ada membina jati dirinya sendiri dan keluarga yang wajib dijaga hubungannya dengan akhlak yang mulia, termasuk juga seluruh anggota masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama, walaupun dalam konteks menyampaikan Islam tanpa paksaan dengan penerimaan secara rela hati, bukan berpura-pura. Di mana akhlak yang mulia juga menjadi tarikan untuk menerima Islam yang dianuti.

“Akhlak yang mulia boleh menyatukan manusia yang berbeza pendapat dan anutan di samping kesatuan fitrahnya.” 

Sejarah Islam membuktikan akhlak Islam menjadi sebab yang penting bagi kejayaan dakwah, politik, ekonomi dan sosial, apabila Islam akhirnya menjadi agama yang dianuti dan diperjuangkan atau pemeritahannya diterima bukan sahaja oleh penganutnya dan orang Islam yang telah beriman, bahkan juga penganut agama lain. Penerimaan pihak bukan Islam kerana adil kerajaannya dan mulia akhlak penganutnya.

Perkembangan Islam yang pesat berlaku secara damai, sehingga di zaman kelemahan umat Islam yang dijajah dan dipecah perintah oleh musuhnya, namun cahaya petunjuknya tidak boleh dihapuskan. Sehingga dapat mempengaruhi bangsa yang menjajahnya, apabila Islam juga sedang berkembang diterima di negara penjajah di Timur dan Barat.

Umat Islam tidak boleh dikalahkan oleh musuhnya dengan kekerasan senjata paling canggih, walaupun senjata yang ada pada umat Islam untuk melawan musuh itu sangat kuno dan tidak berteknologi tinggi, tetapi senjata akhlaknya yang mulia mampu menembusi hati dan akal manusia yang baik. 

Kitab yang diterjemahkan ini hanya sedikit sahaja daripada ilmu Allah laksana mencelup jarum yang halus ke dalam lautan ilmu yang luasnya melebihi seluruh lautan yang ada di muka bumi. Firman Allah SWT:

ﱡﭐ ﳀ ﳁ ﳂ ﳃ ﳄ ﳅ ﳆ  ﳇ ﳈ ﳉ ﳊ ﳋ ﳌ ﳍ ﳎ ﳏ ﳐ ﳑ ﳒ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad S.A.W.): "Kalaulah semua lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi: 109)

Mudah-mudahan usaha yang mulia ini menjadi ilmu yang sangat bermanfaat kepada semua yang membaca, mengkaji dan beramal.


“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”


DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG 
Timbalan Presiden, Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Presiden, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

5 Mac 2018M bersamaan 17 Jamadil Akhir 1439H

Comments

Carian Popular

Karya-Karya Ustaz Dr. Solleh Razak

AL-ADAB AL-MUFRAD di sisi para ulama